Wednesday, April 25, 2012

Pembiakan Ikan Makan



PEMBIAKAN IKAN MAKAN



Modul ini akan membolehkan pelajar memahami dan mahir dalam kaedah pembiakan, penetasan dan mengasuh benih sehingga ke saiz yang boleh diternak atau dipasarkan.

OBJEKTIF
Modul ini membolehkan murid:

1.    Mengenal pasti kaedah pembiakan ikan air tawar.
2.    Mengenal pasti jantina ikan dan memilih induk untuk pembiakan.
3.    Menjalankan pembiakan spesies ikan makan terpilih (Tilapia Merah dan Keli).
4.    Mengasuh benih ikan sehingga boleh diternak atau dipasarkan.
5.    Membungkus benih ikan untuk dipasarkan.

KANDUNGAN MODUL

Unit 4.1    Pembiakan Ikan Tilapia Merah.
Unit 4.2    Pembiakan Ikan Keli.
Unit 4.3    Mengutip hasil, menggred, membungkus dan memasarkan hasil.










UNIT  4.1: PEMBIAKAN IKAN TILAPIA MERAH


MAKLUMAT RUJUKAN


Pendahuluan

Ikan Tilapia Merah Oreochromis niloticus membiak secara semulajadi samada di dalam kolam tanah, tangki gentian kaca dan kolam simen. Ikan Tilapia Merah membiak secara persenyawaan luar badan di mana ikan betina akan bertelur di dalam sarang ( lubang ) dan ikan jantan akan mensenyawakan telur dengan air maninya. Selepas itu telur-telur tersebut dieramkan di dalam mulut induk betina. Selepas 24 jam dieramkan, telur-telur akan menetas dan akan kekal berada di dalam mulut  ibunya sehingga rega-rega tersebut mampu berenang bebas. Dari hari pertama hingga hari ke empat, rega mendapat bekalan makanan melalui kuning telur yang ada pada badannya. Induk betina akan mengasuh rega sehinggalah rega tersebut mampu berdikari.

Perbezaan Jantina

Ikan Tilapia Merah jantan dan betina boleh dibezakan seperti berikut :-

Bil
Sifat luaran
Induk jantan
Induk betina
1
Anus
ada
ada
2
Kloaka
tiada
ada
3
Genital papilla
ada
ada
4
Kelakuan
Agresif
Kurang agresif
5
Saiz
Besar
Kecil




Ikan jantan

Ikan betina







Biologi Pembiakan
Ikan Tilapia Merah membiak dengan membuat sarang di dasar kolam. Induk jantan akan membuat sarang atau lubang berbentuk bulat di dasar kolam. Saiz sarang yang dibina adalah bergantung kepada saiz ikan jantan. Induk betina akan bertelur di dalam sarang manakala induk jantan akan mengeluarkan mani untuk mensenyawakan telur-telur tersebut. Kemudian induk betina akan memasukkan telur-telur tersebut  ke dalam mulutnya untuk proses pengeraman.
Seekor induk jantan mampu mengawan dengan 3 - 4 ekor induk betina di dalam sesebuah tempat pembiakan. Oleh itu kadar perlepasan untuk pembiakan ikan Tilapia Merah ialah pada nisbah 1 : 3 atau 1 : 4. Fekunditi bagi seekor induk betina ialah antara 300 - 500 biji telur bagi setiap kali pembiakan. Induk yang berusia antara 4 hingga 12 bulan boleh membiak pada setiap dua kali dalam masa sebulan. Induk betina dan jantan mencapai tahap kematangan selepas berumur tiga bulan.
Selain dari mengeram telur di dalam mulut, induk betina mempunyai sifat mengasuh rega. Rega-rega yang baru menetas sehingga berusia seminggu biasanya diasuh di dalam mulut induk betina. Selepas berumur seminggu rega-rega tersebut dibebaskan dari mulut induknya untuk membolehkannya mengambil makanan yang terdiri dari plankton. Induk betina akan mengawasi dan menjaga rega dari musuh semasa mereka mencari makanan. Apabila ada ancaman dari pemangsa induk betina akan membuka mulut dan rega akan masuk ke dalam mulut untuk berlindung. Proses penjagaan ini berterusan sehingga benih berusia 14 hari. Selepas    14 hari mengasuh benih, induk betina telah bersedia untuk membiak semula.






Pemeliharaan induk

Induk ikan Tilapia Merah boleh dipelihara di dalam kolam tanah, tangki gentian kaca atau kolam simen. Biasanya ikan jantan dan betina dipelihara di dalam kolam secara berasingan.

Pemeliharaan induk di dalam kolam simen.

Kolam simen yang berukuran 10 - 100 meter persegi sesuai digunakan untuk memelihara induk. Bentuk kolam samada empat segi bujur, bulat atau lucas. Kolam dilengkapkan dengan saluran air masuk secara graviti dan kolam mesti boleh dikeringkan. Dalam air ialah 60 cm dan tinggi dinding kolam ialah 100cm.

Text Box:

Tangki pemeliharaan induk


Penyediaan kolam pemeliharaan induk
Kolam simen yang akan digunakan untuk pemeliharaan induk mestilah disediakan terlebih dahulu. Langkah-langkah penyediaan kolam adalah seperti berikut :-
1.    Bersihkan tangki dari sampah sarap, sisa makanan dan lumut.
2.    Taburkan garam kasar ke dasar kolam pada kadar 1kg bagi 1 meter persegi luas dasar untuk membacmi penyakit. Masukan sedikit air dan larutkan garam. Cuci bahagian permukaan dasar dan dinding kolam dengan larutan garam tersebut.
3.    Jemur kolam tersebut selama 3 hari.
4.    Cuci kolam dengan air bersih.    
5.    Masukkan air ke paras yang dikehendaki.

Menguji parameter mutu air

Sebelum induk dilepaskan ke kolam pemeliharaan tahap mutu air perli dikaji. Tahap parameter mutu air yang sesuai untuk memelihara induk Tilapia Merah adalah seperti berikut :-
1.    pH                         -           6.5 – 8.3
2.    Oksigen larut      -           3.0 – 5.0 mg/l.
3.    Nitrat                     -           kurang dari 0.02 ppm
4.    Nitrit                      -           kurang dari 0.02 ppm
5.    Ammonia             -           kurang dari 0.02 ppm
6.    Besi                      -           kurang dari 0.02 ppm
7.    Suhu                    -           26 – 30 ยบ C.

Jika paras mutu air berada pada tahap yang kurang baik tindakan perlu diambil untuk mengatasi masalah tersebut. Oleh itu tahap pengurusan air perlu ditingkatkan dan pastikan mutu air sentiasa berada pada paras yang dikehendaki. Ujian mutu air boleh dilakukan setiap hari dengan peralatan ujian mutu air yang terdapat di dalam pasaran.

Alat ujian mutu air

Melepaskan ikan

Selepas tangki disediakan, ikan-ikan yang telah dipilih dilepaskan ke dalam tangki. Biasanya ikan jantan dan betina  yang telah berusia 3 bulan dipilih untuk dijadikan induk. Kriteria ikan yang dipilih untuk dijadikan induk adalah seperti berikut:
1.    Ikan yang mempunyai bentuk badan yang bulat dan tinggi.
2.    Ikan yang badannya tebal.
3.    Ikan yang tidak cacat.
4.    Ikan dari baka yang baik, cepat membesar dan menghasilkan benih yang banyak.
5.    Ikan yang mempunyai satu warna sahaja.
6.    Ikan yang sihat.

Kadar perlepasan ialah 3 ekor bagi semeter persegi. Induk-induk dilepaskan pada waktu pagi.



Ikan yang sesuai dijadikan induk

Pemberian makanan

Untuk menghasilkan induk yang baik dan menghasilkan benih yang banyak, induk perlu diberi makanan yang berkualiti tinggi. Biasanya makanan rumusan yang dikenali sebagai pelet terapung yang mengandungi 32 peratus protin diberi kepada induk setiap hari. Kadarnya ialah 3 peratus dari berat badan dan makanan diberi dua kali sehari iaitu pada jam 10.00 pagi dan 4.00 petang. Makanan diberi dengan cara menabur pelet ke dalam kolam pemeliharaan induk.


Pemberian makanan
Pemantauan kesihatan induk

Induk-induk yang dipelihara hendaklah dipantau kesihatannya setiap hari. Jika terdapat induk yang tidak sihat, pemeriksaan kesihatan perlu dijalankan. Induk-induk yang sakit diasingkan, dibuat diagnosa dan rawatan. Cara merawat dan ubatan yang diperlukan adalah bergantung kepada jenis penyakit. Biasanya ikan Tilapia Merah sering dijangkiti oleh parasit. Rawatan yang biasa dijalankan ialah dengan menurunkan paras air sehingga ke 10 cm dan masukkan garam pada kadar 10 gram/liter air dan biarkan selama satu jam. Kemudian tambahkan air sehingga ke paras asal.

PEMBIAKAN

Jenis Dan Rekabentuk Tangki Pembiakan

Tangki simen yang berbentuk segi empat bujur berukuran 3.0 meter x 6.0 meter x 1.0 meter adalah sesuai digunakan untuk pembiakan Tilapia Merah. Tangki ini perlu dilengkapkan dengan dengan saluran air masuk bergaris pusat 5.0cm dan saluran air buang bergaris pusat 10.0cm yang disambungkan pada satu sum tempat mengumpul benih ikan. Permukaan dasar dan dinding kolam perlu licin dan halus agar tidak mencederakan ikan. Bahagian permukaan dinding dalam dan dasar kolam perlu disapu dengan cat ‘epoxi’ untuk membentuk permukaan yang licin dan halus.

Penyediaan Tangki Pembiakan

1.    Mencuci tangki.

Sebelum memulakan kerja-kerja pembiakan, tangki perlu dibersihkan dari kekotoran, sisa makanan, najis ikan dan lumut. Tangki dicuci dengan menggunakan larutan garam berkepekatan 1 kg/5 meter persegi untuk membunuh parasit, kulat dan agen-agen penyakit. Seterusnya tangki dikeringkan dan dijemur di bawah cahaya matahari selama tiga hari.

Text Box:
Text Box:

Text Box:

Text Box:

Kerja-kerja membersih kolam pembiakan.
                                                                                 
2.    Menyediakan sarang

Oleh kerana ikan Tilapia Merah memerlukan sarang untuk membiak maka struktur yang sama perlu disediakan di dalam tangki pembiakan. Sarang tiruan yang dibuat dari susunan 16 biji batu bata yang membentuk lubang segi empat tepat diletakkan di tepi dinding tangki. Sekiranya 25 ekor induk betina dilepaskan maka 25 buah sarang tiruan ini perlu disediakan. Jarak antara sarang ialah 20 cm.







 





                                                                                                                                    
                                                               

 

 









Gambarfoto 6 : Kerja-kerja penyedian sarang pembiakan

3.    Memasukkan air

Air bersih dari kolam takungan dimasukkan ke dalam tangki pada waktu pagi sehingga ke paras yang dikehendaki iaitu sedalam 60 cm. Air mesti menenggelami sarang tiruan. Kemudian air di biarkan semalaman dan diberi pengudaraan. Tujuan pengudaraan adalah untuk memastikan air tangki tersebut mengandungi oksigen terlarut yang tinggi sebelum pembiakan dijalankan. Pastikan tiada ikan-ikan lain masuk ke dalam tangki. Saluran air keluar perlu dipasang penapis yang sesuai agar rega yang dihasilkan tidak terlepas keluar. Ujian mutu air perlu dijalankan sebelum induk jantan dan betina dilepaskan ke dalam tangki pembiakan
Text Box:


Memasukkan air ke dalam kolam pembiakan
.
Memindahkan Induk Ke Kolam Pembiakan

1.    Kadar pelepasan

Induk jantan dan betina dilepaskan untuk pembiakan pada nisbah 1 : 4 iaitu seekor induk jantan dan empat ekor induk betina. Kadar perlepasan pula ialah 2 ekor bagi semeter persegi. Bagi tangki pembiakan seluas 3.0 meter x 6.0 meter sebanyak 24 ekor induk betina dan 8 ekor induk jantan dilepaskan untuk pembiakan.

2.    Masa melepaskan induk

Induk-induk yang telah dipilih dilepaskan ke dalam pembiakan pada waktu pagi iaitu pada jam 9.00 – 10.00 pagi. Perlepasan pada waktu petang adalah kurang sesuai kerana perubahan suhu yang tinggi di antara air dalam tangki induk dan tangki pembiakan boleh menyebabkan induk mengalami tekanan dan menjejaskan induk untuk membiak.

3.    Melepaskan induk betina

Selepas tangki pembiakan telah disediakan dengan rapi induk betina yang telah dipilih dilepaskan kedalam kolam pembiakan pada waktu pagi. Induk-induk betina yang hendak dilepaskan mestilah mempunyai ciri-ciri berikut :-
a)    Telah matang.
b)    Mempunyai perut yang besar dan telur yang matang.
c)    Telah sedia untuk mengawan.

Biarkan induk-induk tersebut di dalam kolam pembiakan tersebut selama tiga hari untuk menyesuaikan dengan persekitaran baru di dalam kolam pembiakan tersebut.

4.    Melepaskan induk jantan

Induk jantan yang mempunyai ciri-ciri berikut dipilih untuk pembiakan :-
a)    Telah matang.
b)    Mempunyai sperma yang baik.
c)    Telah sedia untuk mengawan.

Induk jantan yang telah sedia dilepaskan ke dalam kolam pembiakan selepas tiga hari induk betina dilepaskan. Induk jantan dilepaskan pada waktu pagi. Dalam proses mengawan induk jantan akan memilih induk betina yang telah sedia untuk mengawan dan bertelur. Proses mengawan akan berlaku di sarang tiruan di mana induk betina akan melepaskan telur ke dalam sarang dan telur-telur tersebut akan disenyawakan oleh induk jantan. Telur-telur yang telah disenyawakan akan dikutip oleh induk betina dan dieramkan di dalam mulutnya. Manakala induk jantan pula akan mencari induk betina yang telah sedia untuk  mengawan dan menjalankan proses pembiakan seterusnya sehinggalah ia selesai mengawan dengan induk betina yang ke empat.

5.    Memungut rega

Selepas seminggu induk jantan dilepaskan ke dalam kolam induk, pemerhatian terhadap rega yang dihasilkan perlu dilakukan setiap hari terutamanya pada waktu pagi. Pada masa ini sistem pengudaraan dipadamkan dan akan menyebabkan oksigen larut dalam air menjadi rendah. Apabila ini terjadi induk betina akan kekurangan oksigen dan membebaskan rega dari dalam mulutnya bagi membolehkannya bernafas. Rega yang dibebaskan oleh induknya juga akan berenang di permukaan air untuk bernafas.

Kerja-kerja memungut rega akan dijalankan dengan menggunakan sauk dan rega-rega tersebut dipindahkan di dalam bekas, dihitung dan dilepaskan ke dalam kolam asuhan.


Kerja-kerja memungut rega

Asuhan Benih

1.    Rekabentuk dan saiz kolam asuhan

Kolam asuhan diperbuat dari simen atau gentian kaca yang berbentuk empat segi bujur dengan keluasan antara 10 hingga 50 meter persegi. Kebiasaannya kolam simen digunakan sebagai kolam asuhan benih. Kolam ini dilengkapi dengan saluran air masuk bergaris pusat 5.0 cm dan saluran air keluar bergaris pusat 10.0 cm yang disambungkan kepada sebuah sum untuk memungut benih ikan. Dasar kolam hendaklah curam dari dari arah saluran air masuk ke arah saluran air keluar bagi membolehkan kolam dikeringkan sepenuhnya.
Text Box:


Kolam Asuhan Benih Tilapia merah.

2.    Penyediaan kolam asuhan

Langkah-langkah penyediaan kolam asuhan adalah seperti berikut :-

a)    Bersihkan dasar dan dinding kolam dari sisa makanan, najis ikan dan lumut.
b)    Cuci dinding dan dasar kolam dengan larutan garam yang berkepekatan 1 kg/5 meter persegi untuk membunuh parasit, agen-agen penyakit dan kulat.
c)    Biarkan selama satu hari.
d)    Bilas dengan air bersih dan jemur di bawah cahaya matahari selama   3 hari.

3.    Memasukkan air

Air bersih dimasukkan ke dalam kolam sedalam 30 cm. Sebelum itu pastikan saluran air keluar dipasang dengan penapis yang sesuai untuk mengelakkan rega terlepas keluar. Untuk memenuhkan air kolam sehingga ke paras 60 cm, tambahkan air hijau yang telah disediakan sebelum ini. Air hijau ini kaya dengan plankton yang menjadi makanan semulajadi dan asasi bagi rega yang akan dilepaskan kelak. Pasangkan alat pengudaraan ke dalam kolam agar oksigen larut berada pada paras yang sesuai untuk plankton dan rega hidup dan membesar.

 
Air bersih dimasukkan ke dalam kolam asuhan

4.    Pengurusan asuhan benih

a)    Melepaskan rega ke kolam asuhan benih. 
Rega-rega yang telah dipungut dari tangki pembiakan dilepaskan ke dalam kolam asuhan dengan kadar 1000 ekor per meter persegi. Ini bermakna bagi kolam seluas 10 meter persegi sebanyak 10,000 ekor rega dilepaskan ke dalam kolam untuk diasuh sehingga mencapai saiz 2.5 cm selama 21 hari. Sebelum rega dilepaskan pastikan suhu air dalam bekas rega adalah sama dengan suhu air kolam asuhan. Langkah ini perlu diberi perhatian khusus untuk mengelakkan kematian rega semasa proses pemindahan rega tersebut. Rega-rega dilepaskan perlahan-lahan ke dalam kolam asuhan. Pada mulanya rega akan menyesuaikan diri di tempat baru dan apabila sudah serasi, rega-rega tersebut terus memakan plankton dan terus membesar.

Memindahkan rega ke kolam asuhan

b)    Pemberian makanan
Selain dari makanan semulajadi yang terdiri dari plankton yang terdapat dalam air hijau makanan tambahan juga perlu diberi kepada benih yang diasuh. Makanan rumusan yang dikenali sebagi ‘powder feed’ yang mengandungi 40 peratus protin diberi kepada benih. Oleh kerana makanan ini berbentuk serbuk, maka makanan ini perlu dicampur air dan diuli sehingga menjadi kenyal. Bentuk makanan tersebut sebesar bola pingpong dan kemudian tempelkan di dinding kolam di bawah permukaan air. Tempelkan makanan tersebut di beberapa lokasi dinding keliling kolam. Rega akan sensitif kepada bau makanan tersebut dan memakan makanan tersebut sedikit demi sedikit sehingga habis. Tambahkan jumlah makanan sehinggalah semua rega berhenti makan. Rekodkan berat makanan yang dimakan oleh benih-benih tersebut. Untuk hari berikutnya jumlah makanan ditambah sebanyak 10 peratus dari jumlah makanan sebelumnya. Makanan diberi empat kali sehari iaitu pada jam 8.00 pagi, 12.00 tengahri, 4.00 petang dan 8.00 malam.

Makanan sedang diberi kepada benih ikan

c)    Pengurusan air
Tiap-tiap hari air kolam perlu dipantau dari segi kualitinya. Kualiti air yang sesuai untuk asuhan benih ikan adalah seperti berikut :-
i.      pH                         -           6.5 – 8.3
ii.    Oksigen larut       -          melebihi 5 mg/l
iii.   Suhu                    -           28 – 32 °C
iv.   Ammonia             -           kurang dari 0.02 ppm
v.    Nitrat                     -           kurang dari 0.02 ppm
vi.   Nitrit                      -           kurang dari 0.02 ppm

            Jika kualiti air merosot, air kolam perlu ditukar sebanyak 50 peratus. Langkahnya buangkan 50 peratus air sediada dan tambahkan air baru sebanyak 50 peratus. Semasa menambah air baru, pastikan suhu air baru dan suhu air kolam adalah sama agar tidak berlaku tekanan kepada benih. Benih-benih yang mengalami tekanan akan mudah diserang penyakit dan mati. Segala data yang diperolehi direkodkan untuk rujukan masa hadapan.

Ujian mutu air sedang dijalankan

d)    Pemantauan Pembesaran Benih
Pembesaran rega-rega yang diasuh perlu dipantau dari masa ke semasa. Setiap lima hari sekali saiz benih diukur iaitu panjang dan berat badan. Data-data yang diperolehi perlu direkodkan untuk rujukan masa hadapan. Rekodkan juga makanan yang telah diberi kepada benih yang diasuh. 

e)    Pemantauan kesihatan benih
Dalam tempoh asuhan berjalan kesihatan benih perlu dipantau dari masa ke semasa. Benih-benih yang berkelakuan ganjil, ada tanda-tanda penyakit diambil dan dibuat diagnosa penyakit ikan. Sekiranya terdapat benih yang berpenyakit, asingkan ikan tersebut dan beri rawatan yang bersesuaian. Untuk merawat penyakit yang disebabkan oleh parasit seperti Trichodina spp., Chlidonella spp. dan rintik putih, buang 50 peratus air kolam dan masukkan garam pada kadar 10 gram/liter. Kemudian jemur kolam di bawah cahaya matahari selama dua hari dan selepas itu masukkan semula air bersih sehingga ke paras asal. Penyakit yang disebabkan oleh Lernea, kutu insang dan argulus boleh dirawat dengan dipterex dengan kadar 2.0 ppm. Caranya, kira isipadu air kolam (liter) dan kemudian timbang dipterex dan larutkan dengan air dan tabur ke dalam kolam. Parasit yang terkena dipterex akan mati. 

Kutipan Hasil

Rega diasuh selama 21 hari. Dalam tempoh ini rega akan menjadi benih dan berukuran 2.5 cm. Benih-benih yang mencapai saiz ini adalah sesuai untuk dipindahkan ke kolam ternakan atau dijual kepada penternak. Benih-benih yang hendak dijual atau dipindahkan ke kolam ternakan dibungkus dalam beg plastik yang berukuran 45 cm x 100 cm. Masukan air sebanyak sepertiga ruang plastik . Masukkan 250 ekor benih ikan ke dalam beg plastik tersebut. Kemudian masukan gas oksigen sehingga dua pertiga ruang plastik tersebut dan ikat dengan getah gelang. Ikan-ikan yang telah dibungkus diedarkan ke lokasi ternakan dengan menggunakan kenderaan.


Text Box:

Benih yang telah sedia untuk dipasarkan.
Text Box:

Memukat benih menggunakan pukat tarik
Text Box:

Benih-benih yang dipukat dikumpulkan.
     
Text Box:

Menganggarkan bilangan benih
Text Box:

Memasukkan benih ke dalam beg plastik
Text Box:

Mengikat beg plastik dengan getah gelang

Text Box:

Benih ikan Tilapia Merah yang telah dibungkus


                       PANDUAN KERJA

 

BAHAN DAN PERALATAN


1.        Sebuah tangki pembiakan berukuran 3.0 x 6.0 x 1.0 meter.
2.        Batu bata untuk membina sarang tiruan.
3.        Sebuah blower, batu angin ( air stone ) dan saluran udara.
4.        Sebuah pukat tarik.
5.        Sebuah tangguk tangan.
6.        Dua buah besen plastik bergaris pusat 1.0 meter.
7.        24 ekor induk betina matang dan 8 ekor induk jantan matang.
8.        Sebuah kolam asuhan berukuran 3.0 x 6.0 x 1.0 meter.
9.        Dua buah tangguk tangan untuk memungut rega.
10.     Dua buah besen bergaris pusat 30 cm.
11.     Dua buah mangkuk plastik kecil bergaris pusat 10 cm.
12.     Dua kilogram powder feed.
13.     Sepuloh kilogram garam kasar.
14.     Seratus keping beg plastik berukuran 45 x 100 cm dan getah gelang.
15.     Gas dan selinder oksigen serta peralatannya.
16.     Seratus biji batu bata.

TUGASAN


Menghasilkan benih ikan Tilapia Merah bersaiz 2.5 cm.







PENCAPAIAN STANDARD


1.    Dapat mengenalpasti ikan Tilapia Merah.
2.    Mengenal pasti jantina dan memilih induk matang untuk dibiakkan.
3.    Mahir menyediakan kolam pembiakan dan asuhan.
4.    Mahir menjalankan pengurusan penetasan.
5.    Mengasuh benih ikan Tilapia Merah sehingga ke saiz pasaran.
6.    Mengred dan membungkus ikan untuk dipasarkan.
























LANGKAH KERJA

Penyediaan Kolam Pembiakan

1.    Bersihkan kolam pembiakan dari kekotoran, sisa makanan, najis ikan dan lumut.
2.    Cuci dinding dan dasar kolam dengan larutan garam berkepekatan 1kg/5 meter persegi.
3.    Keringkan kolam dan jemur di bawah cahaya matahari selama 3 hari.
4.    Sediakan 25 buah sarang tiruan yang diperbuat dari batu bata.
5.    Memasukan air bersih ke dalam kolam pembiakan sehingga ke paras     60 cm.
6.    Menguji mutu air kolam pembiakan.

Memindahkan Induk Ke Kolam Pembiakan

1.    Pilih induk matang yang sedia untuk dibiakkan iaitu 24 ekor induk betina dan 8 ekor induk jantan ( Nisbah 1 : 4 ).
2.    Pindahkan induk-induk ke kolam pembiakan pada waktu pagi.
3.    Melepaskan induk betina ke dalam kolam pembiakkan dan biarkan selama tiga hari untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru.
4.    Melepaskan induk jantan selepas tiga hari kemudian.

Pemerhatian

1.    Tempoh untuk ikan mengawan dan membiak adalah berbeza-beza dari   beberapa hari hingga ke beberapa minggu.
2.    Induk yang mulai berdekatan, berpasangan dan berada di sarang adalah penunjuk ikan akan membiak dalam tempoh masa terdekat.
3.    Induk betina yang garang menunjukan ia sedang mengeram telur atau mengasuh rega.
4.    Rekodkan kelakuan ikan semasa mengawan dan menjaga rega.
5.    Rega yang berenang bebas.

Memungut Rega

1.    Sediakan tangguk tangan, mangkuk kecil dan besen yang berisi air.
2.    Periksa rega yang berenang bebas secara berkumpulan antara 50 hingga 300 ekor sekumpulan.
3.    Perlahan-lahan tangkap kumpulan rega dan masukan ke dalam besen. Tangkap semua kumpulan rega.
4.    Kira jumlah rega di dalam besen. Rekodkan jumlah rega tersebut.
5.    Pindahkan rega ke dalam kolam asuhan.

Mengasuh Benih

1.    Menyediakan kolam asuhan

a.    Bersihkan dasar dan dinding kolam dari sisa makanan, najis ikan dan lumut.
b.    Cuci dinding dan dasar kolam dengan larutan garam yang berkepekatan 1kg/5 meter persegi untuk membunuh parasit, agen-agen penyakit dan kulat. Biarkan semalaman.
c.    Bilas dengan air bersih dan jemur di bawah cahaya matahari selama   3 hari.
d.    Masukkan air besih sebanyak 50 peratus atau 30 cm dan tambah air hijau yang telah disediakan sebelum ini sebanyak 50 peratus atau     30 cm. Dalam air ialah 60cm.






2.    Pengurusan kolam asuhan.

a)    Melepaskan rega ke kolam asuhan
i.      Kadar perlepasan ialah 1000 ekor semeter persegi.
ii.    Pastikan suhu air dalam bekas rega adalah sama dengan suhu air kolam.
iii.   Lepaskan 18,000 ekor rega ke dalam kolam.

b)    Pemberian makanan
i.      Makanan rumusan atau powder feed diberi kepada rega.
ii.    Bancuh makanan dengan sedikit air dan uli sehingga menjadi kenyal.
iii.   Bentuk adunan makanan tersebut sebesar bola pingpong. Bentuk sebanyak 10 biji.
iv.   Tempelkan di beberapa lokasi di bawah permukaan air dinding kolam.
v.    Perhatikan rega memakan makanan tersebut. Kira tempoh masa makanan tersebut habis dimakan. Rekodkan jumlah makanan yang telah dimakan.
vi.   Makanan diberi empat kali sehari iaitu pada jam 8.00 pagi, 12.00 tengahari, 4.00 petang dan 8.00 malam.

c)    Pengurusan air
i.      Jalankan ujian mutu air tiga hari sekali.
ii.    Pastikan kualiti air berada di paras yang sesuai seperti berikut:-
a.    pH                             -           6.5 – 8.3
b.    Oksigen larut           -           melebihi 5.0 mg/l  
c.    Suhu                        -           28 – 32 °C
d.    Ammonia                 -           kurang dari 0.02 ppm
e.    Nitrat                         -           kurang dari 0.02 ppm
f.     Nitrit                          -           kurang dari 0.02 ppm
      


iii.   Jika kualiti air merosot, air perlu ditukar. Langkahnya buangkan    50 peratus air sediada dan tambahkan air baru sebanyak 50 peratus.
iv.   Rekodkan data ujian mutu air untuk rujukan di masa hadapan.

d)    Pemantauan pembesaran ikan
i.      Jalankan kerja-kerja pensampelan setiap lima hari sekali.
ii.    Ambil 50 ekor rega secara rawak, ukur panjang badan, timbang berat dan rekodkan.
iii.   Kira berat purata benih dan dapatkan jumlah berat keseluruhan benih dalam kolam.
iv.   Kira makanan yang diperlukan untuk lima hari berikutnya dengan mendarabkan jumlah berat ikan dalam kolam dengan 10 peratus dari berat badan.
v.    Rekod semua data-data yang diperolehi untuk rujukan masa hadapan.

e)    Pemantauan kesihatan ikan
i.      Perhatikan kelakuan ikan pada awal pagi setiap hari.
ii.    Tangkap benih-benih yang berkelakuan ganjil, berenang tidak tentu arah, ada tanda-tanda penyakit dan buat diagnosa penyakit ikan.
iii.   Ikan-ikan yang sakit di rawat dengan ubat-ubatan yang bersesuaian.
iv.   Kolam-kolam juga perlu dirawat dengan kaedah rawatan yang bersesuaian.

Kutipan Hasil

1.    Benih akan mencapai saiz 2.5 cm setelah diasuh selama 21 hari.
2.    Buangkan air sebanyak 50 peratus.
3.    Gunakan pukat tarik untuk menangkap benih. Pastikan makanan tidak diberi sehari sebelum benih ditangkap untuk mengelakkan ikan mengeluarkan najis semasa dalam perjalanan ke lokasi ternakan.

4.    Akhirnya keringkan kolam untuk mengutip semua benih.
5.    Bungkus 250 ekor benih ikan ke dalam beg plastik dan bubuh gas oksigen.
6.    Edarkan benih-benih tersebut kepada penternak atau dilepaskan ke kolam ternakan.

 









































PENILAIAN

1.   Sebutkan ciri-ciri perbezaan jantina ikan Tilapia Merah matang.

Bil
Sifat Luaran
Induk Jantan
Induk Betina
1
Anus


2
Kloaka


3
Genital papilla


4
Kelakuan


5
Saiz



2.   Nyatakan makanan yang sesuai untuk induk ikan Tilapia.

3.   Senaraikan kriteria-kriteria ikan Tilapia Merah yang dipilih untuk dijadikan  induk.

4.   Mengapa induk betina menyimpan telur-telur yang telah disenyawakan di dalam mulutnya.

5.   Senaraikan tahap parameter air yang sesuai untuk memelihara induk dan mengasuh benih ikan tilapia merah.

6.   Apakah fungsi garam kasar semasa menyediakan kolam asuhan?
A.   Untuk memasin air kolam.
B.   Untuk meningkatkan kadar hidup benih ikan.
C.   Untuk membacmi kuman, kulat,parasit dan agen-agen penyakit.
D.   Untuk menjernihkan air.
E.   Untuk  menyuburkan air kolam.



7.   Apakah nisbah antara induk jantan dan betina ikan Tilapia Merah yang hendak dibiakan?
A.   Nisbah 1 :  1 atau 1 : 3
B.   Nisbah 1 :  3 atau 1 : 4
C.   Nisbah 1 :  2 atau 1 : 5
D.   Nisbah 1 :  3 atau 1 : 5
E.   Nisbah 1 :  4 atau 1 : 5

8.   Apakah fekunditi bagi seekor induk betina ikan tilapia merah.
A.   Antara 100 – 300 biji telur.
B.   Antara 200 – 400 biji telur.
C.   Antara 300 – 500 biji telur.  
D.   Antara 400 – 500 biji telur.
E.   Antara 100 – 500 biji telur.

9.   Apakah jenis makanan rumusan yang diberi kepada benih?
A.   Plankton.
B.   Air Hijau.
C.   Pelet terapong.
D.   Dedak padi.
E.   Powdwer feed.

10. Apakah kadar perlepasan rega untuk diasuh.
A.   1000 ekor semeter persegi.
B.   900 ekor semeter persegi.
C.   800 ekor semeter persegi.
D.   700 ekor semeter persegi.
E.   600 ekor semeter persegi.




UNIT  4.2 :   PEMBIAKAN IKAN KELI EKSOTIKA


MAKLUMAT RUJUKAN

Pendahuluan

Ikan Keli Eksotika Clarius gariepinus  berasal dari Afrika. Di perairan semulajadi seperti di sungai, tasik dan taliair, ikan ini membiak secara semulajadi. Ikan ini juga boleh dibiakan secara semulajadi di dalam kolam tetapi jumlah benih yang diperolehi adalah sedikit. Bagi tujuan komersial ikan ini dibiakan dalam kurungan melalui teknik pembiakan aruhan. Melalui teknik ini benih dapat dihasilkan secara besar-besaran dan dapat mengatasi masalah kekurangan benih ikan untuk diternak.

Perbezaan Jantina

Ikan Keli Eksotika jantan dan betina boleh dibezakan seperti berikut :-

Bil.
Sifat luaran
Induk jantan
Induk betina
1
Alat kelamin
Panjang dan tajam
membulat
2
Abdomen
Kecil
Besar dan lembang
3
Saiz
Kecil
Besar
4
Kelakuan
Agresif
Kurang agresif









Text Box:

Text Box:
Perbezaan alat kelamin induk keli. Gambar kanan adalah induk
jantan dan gambar kiri adalah induk betina.
Text Box:

Perbezaan jantan dan betina ikan keli.

Biologi Pembiakan

Ikan Keli Eksotika hanya hidup dan membiak di dalam air tawar. Walau bagaimanapun ikan keli juga tahan terhadap kemasinan sehingga ke tahap 29 ppt. Di perairan semulajadi atau dalam kolam tanah ikan keli membuat sarang atau lubang di bawah akar pokok atau di celah-celah batu. Di sarangnya terdapat rumput-rumpai tempat melekatkan telurnya semasa proses pengeraman. Ikan keli membiak secara berpasangan pada waktu malam. Telur-telur yang telah disenyawakan dilekatkan pada akar pokok atau rumput-rumpai yang terdapat di sekitar sarangnya.

Ikan keli mencapai kematangan apabila mencapai umur empat bulan dengan saiz badanya sekitar 300 – 500 gram. Bagi tujuan pengeluaran benih secara komersial, induk yang berumur melebihi setahun dengan berat badan sekitar 1000 gram adalah sesuai digunakan untuk pembiakan. Pada saiz ini fekunditi ikan keli betina ialah antara 30,000 – 50,000 biji telur. Bilangan telur ini adalah bergantung kepada saiz induk dan jenis makanan yang dimakan.

Melalui proses pembiakan aruhan, induk betina dan jantan akan disuntik dengan hormon pembiakan seperti hormon Ovaprim, Ovatide dan Dry Pituitari Gland ikan Kap untuk merangsang kelenjar pituitari induk jantan dan betina agar menhasilkan hormon pogesterone dan testosterone untuk mematangkan telur dan sperma serta berakhir dengan ovulasi. Selepas 10 jam induk disuntik hormon, induk jantan dan betina telah sedia untuk kerja-kerja meleret telur dan persenyawaan telur. Langkah pertama yang dilakukan ialah membedah abdomen induk jantan untuk mengambil testis. Hancurkan testis untuk mengeluarkan air mani. Tindakan ini dilakukan kerana air mani tidak boleh dikeluarkan dengan hanya memicit abdomen induk jantan. Selepas air mani disediakan, kerja-kerja meleret  abdomen induk betina dijalankan untuk mengeluarkan telur. Telur-telur tersebut kemudiannya disenyawakan dengan air mani. Proses perenyawaan hanya berlaku dalam tempoh tiga minit selepas dikeluarkan dari abdomen. Nisbah induk jantan dan betina untuk pembiakan aruhan ikan keli ialah 1 : 1.





Pemeliharaan Induk

Induk ikan Keli Eksotika boleh dipeliharan di dalam kolam tanah, tangki gentian kaca atau kolam simen. Biasanya induk jantan dan betina dipeliharan di dalam kolam yang berasingan.

1.    Pemeliharaan induk di dalam tangki gentian kaca
Tangki gentian kaca yang dipanggil tangki pemeliharaan induk yang berukuran 1.0 x 3.0 x 1.0 meter boleh digunakan untuk memelihara induk ikan keli. Tangki ini dilengkapkan dengan saluran air masuk dan keluar. Dalam air adalah 60 cm.

Tangki pemeliharaan Induk

2.    Penyediaan tangki pemeliharaan induk
Tangki pemeliharaan induk perlulah disediakan terdahulu sebelum induk dipelihara. Langkah-langkah penyediaan tangki berkenaan adalah seperti berikut:-
a.    Bersihkan tangki dari sisa makanan dan lumut.
b.    Cuci permukaan dasar dan dinding tangki dengan larutan garam yang berkepekatan 30 gram/liter air untuk membunuh parasit dan kuman.
c.    Bilas dengan air bersih.
d.    Masukkan air sehingga ke paras 60 cm.

3.    Melepaskan Induk
Selepas tangki disediakan, ikan-ikan yang telah dipilih untuk dijadikan induk dilepaskan ke dalam tangki. Biasanya ikan jantan dan betina yang telah berusia setahun dijadikan induk. Kriteria ikan yang dipilih untuk dijadikan induk adalah seperti berikut :-
a.    Ikan dari baka yang baik dan cepat membesar.
b.    Ikan dari baka yang menghasilkan benih yang banyak.
c.    Ikan yang sihat.
d.    Ikan yang  tidak cacat.

Kadar perlepasan ialah 3 ekor bagi semeter persegi. Induk-induk dilepaskan pada waktu pagi.

Text Box:

Ikan yang sesuai dijadikan induk.

4.    Pemberian makanan
Makanan yang sesuai untuk induk ikan keli ialah pelet terapung yang mengandungi 32 peratus protein. Kadarnya ialah tiga peratus dari berat badan. Makanan diberi dua kali sehari iaitu pada jam 10.00 pagi dan 4.00 petang. Makanan diberi dengan menabur pelet ke dalam tangki pemeliharaan induk.





Menabur pelet ke dalam tangki induk.

5.    Pemantauan kesihatan induk
Induk-induk yang dipelihara hendaklah dipantau kesihatannya setiap hari. Jika terdapat induk yang tidak sihat, pemeriksaan kesihatan perlu dijalankan. Induk-induk yang sakit diasingkan, dibuat diagnosa dan diberi rawatan yang bersesuaian. Cara merawat dan ubatan yang diperlukan adalah bergantung kepada jenis penyakit ikan. Biasanya ikan keli sering dijangkiti oleh parasit dan bakteria. Rawatan yang biasa dilakukan ialah dengan menurunkan paras air sehingga ke 10 cm dan masukan garam pada kadar 10 gram/liter air dan biarkan selama satu jam. Kemudian tambahkan air sehingga ke paras asal.

Pembiakan

1.    Jenis dan rekabentuk tangki stimulasi gonad
Tangki gentian kaca berbentuk segi empat bujur yang berukuran 1.0 x 3.0 x 1.0 meter adalah sesuai digunakan untuk pembiakan ikan keli. Sebanyak dua buah tangki perlu disediakan iaitu sebuah untuk induk jantan dan sebuah lagi untuk induk betina. Tangki ini perlu dilengkapkan saluran air keluar bergaris pusat 7.5 cm. Warna tangki yang sesuai ialah warna hijau tua, biru atau kelabu.
2.    Penyediaan tangki stimulasi gonad

a.   Mencuci tangki.
Tangki pembiakan perlu dibersihkan dari kekotoran, sisa makanan, najis ikan dan lumut. Tangki dicuci dengan larutan garam berkepekatan 10gram/liter air untuk membunuh parasit, kulat dan agen-agen penyakit. Bilas tangki dengan air bersih.

b.   Memasukkan air.
Air bersih dimasukan ke dalam tangki sehingga ke paras 60 cm. Biarkan air semalaman dan diberi pengudaraan. Tujuannya adalah untuk memastikan air tersebut mengandungi oksigen terlarut yang tinggi sebelum induk dilepaskan.

3.    Pembiakan aruhan
Pembiakan aruhan bermaksud induk-induk yang telah mempunyai telur-telur yang hampir matang di dalam gonadnya diberi suntikan hormon ovaprim yang bertujuan untuk mematangkan gonad dan telur bagi membolehkan proses ovulasi berlaku dan persenyawaan tiruan boleh dilaksanakan.

a.    Memilih induk untuk pembiakan aruhan.
Induk keli yang mempunyai ciri-ciri berikut adalah sesuai untuk pembiakan aruhan.

Induk Betina;
i.      Abdomen yang besar dan melembang ke kiri dan kanan.
ii.    Genital papillanya berwarna kemerah-merahan.
iii.   Apabila abdomennya dipicit perlahan-lahan ke arah kloaka, akan keluar telur yang telah bercerai antara satu sama lain.

Text Box:

Induk betina yang sesuai untuk pembiakan aruhan

Induk jantan:
i.      Genital papillanya panjang mencecah sirip anal.
ii.    Bahgian hujung genital papila berwarna kemerah-merahan.
iii.   Apabila abdomen dipicit perlahan-lahan akan keluar sperma dari genital papila.

Induk jantan yang sesuai untuk pembiakan aruhan

b.    Jenis hormon yang digunakan.
Hormon yang digunakan untuk pembiakan aruhan ikan keli ialah Hormon Ovaprim. Hormon ini apabila disuntik kepada ikan, ia akan meresap masuk ke gonad dan seterusnya merangsang gonad untuk mematang telur dan seterusnya menggalakkan proses ovulasi berlaku. Dos bagi induk betina ialah 0.3 ml/kg induk manakala dos ikan jantan pula ialah 0.15 ml/kg iaitu setengah dari dos ikan betina.

Hormon Ovaprim
.

c.    Menimbang induk.
Induk-induk yang telah dipilih ditimbang satu persatu untuk menentukan berat badan dan jumlah hormon yang perlu disuntik. Selepas seekor induk ditimbang, tentukan jumlah hormon  dan suntik hormon kepada induk. Proses kerja ini diulang-ulang sehingga semua induk betina dan jantan habis disuntik hormon.
   
Text Box:

Menimbang induk ikan keli
d.    Menyuntik hormon.
Ikan keli hanya memerlukan satu suntikan hormon sahaja. Biasanya induk akan disuntik pada jam 10.00 malam. Bahagian yang biasa disuntik ialah otot yang terletak diantara sirip dorsal dan garisan deria. Alat suntikan yang digunakan adalah bersaiz 1.0 ml dan jarumnya sepanjang 1.25 cm. Caranya adalah dengan menyedut hormon dari botol , buangkan angin, cucuk jarum ke dalam otot pada kedudukan 45 darjah, turunkan jarum pada kedudukan selari dengan badan ikan dan tekan picagari untuk menolak hormon masuk ke dalam otot. Perlahan-lahan cabut jarum dan tekan otot dengan ibu jari agar hormon tidak mengalir keluar. Untuk memudahkan kerja-kerja menyuntik hormon, induk dimasukkan ke dalam plastik dan dari luar plastik  induk disuntik hormon.
Text Box:


Alat Suntikan

Kerja-kerja menyuntik hormon.
      

e.    Memindahkan induk ke tangki stimulasi gonad.
Induk betina dan jantan yang telah disuntik hormon dilepaskan ke dalam tangki stimulasi gonad yang berlainan. Tujuannya adalah untuk mengelakkan induk-induk mengawan sesama sendiri jika ditempatkan di dalam tangki yang sama dan akibatnya pembiakan aruhan akan gagal. Induk-induk tersebut dibiarkan berada di dalam tangki tersebut selama 10 jam atau sehingga kerja-kerja meleret telur selesai dijalankan.


Induk-induk yang telah disuntik di dalam tangki stimulasi gonad

f.     Menyediakan sperma jantan.
Air mani induk jantan tidak boleh dikeluarkan dari badan dengan cara meleret abdomen seperti ikan-ikan lain. Untuk mendapatkan air mani induk jantan perlu dibedah. Keluarkan kedua-dua testisnya, bersihkan dan letakkan di dalam piring petri. Hancurkan testis dengan pisau dan
gunting dan kemudiannya dihancurkan untuk mengeluarkan spermanya. Simpan sperma tersebut dalam piring petri pada suhu bilik.

Induk jantan yang dibedah dan testisnya
     
Text Box:

Sperma yang telah dikeluarkan dari testis

g.    Meleret telur.
Selepas 10 jam menerima suntikan hormon, induk betina telah sedia untuk mengeluarkan telur. Tangkap induk berkenaan, lapkan dengan tuala kering supaya badanya lembab tetapi tidak berair. Perlahan-lahan leret abdomen ke arah kloaka dan telur akan keluar ke dalam besen yang telah disediakan. Ulangi langkah ini sehingga hampir semua telur habis dileret dari abdomen. Kerja-kerja diteruskan kepada induk betina yang lain.
Text Box:

Meleret Abdomen Induk Betina.

h.    Persenyawaan telur.
Telur-telur yang telah dileret dikumpulkan di dalam besen dan kemudian tambahkan air mani ke dalam besen tersebut. Gaulkan telur dan air mani dengan bulu ayam sehingga sekata atau sehingga semua telur disenyawakan. Proses ini berjalan selama antara 3 – 5 minit. Tambahkan air untuk  perkembangan telur. Bersihkan telur dari sisa sperma dan darah. Proses ini diulangi bagi induk-induk yang lain.

Text Box:


Persenyawaan telur ikan keli.
Text Box:


Persenyawaan telur
                
i.      Merawat induk.
Induk  betina perlu dirawat selepas dileret. Induk-induk tersebut di kumpulkan di dalam sebuah tangki yang diisi dengan air bersih. Selepas dileret induk betina akan mengalami kecederaan, luka dan kehilangan lendir. Keadaan ini boleh dirawat dengan “acriflavin” dengan kepekatan 2 ppm. Biarkan semalaman dan kemudian pindahkan ke kolam induk.


Penetasan

1.    Rekabentuk tangki penetasan
Tangki penetasan berbentuk segi empat bujur dan berukuran 1.0 x 3.0 x 0.75 meter. Dalam air ialah 50 cm. Tangki ini dilengkapkan dengan saluran air keluar bergaris pusat 10.0 cm. Warna dasar dan dinding bahagian dalam adalah hijau, biru atau kelabu.


Tangki penetasan

2.    Dulang penetasan
Dulang penetasan dibentuk daripada paip pvc bergaris pusat 2.0 cm sebagai bingkai berbentuk empat segi bujur berukuran 0.8 x 1.0 meter. Pada bingkai ini dipasang jaring halus bermata ukuran 1.0 x 1.0 mm. Bingkai berfungsi sebagai pelampung. Dulang ini akan timbul di permukaan air di mana jaringnya akan berada di dalam air.

Text Box:

Dulang penetassan

3.    Menyediakan tangki penetasan

a.    Mencuci tangki.
Tangki dibersihkan dari kekotoran dan lumut. Tangki dicuci dengan menggunakan larutan garam berkepekatan 10 gram/liter untuk membunuh parasit, kuman, kulat dan agen-agen penyakit lain. Biarkan selama semalam. Bilas dengan air bersih dan keringkan selama 3 hari.

b.    Memasukan air dan memasang dulang penetasan.
Masukan air besih ke dalam tangki sehingga ke paras 50 cm. Berikan pengudaraan untuk memastikan air tangki tersebut mengandungi oksigen terlarut yang tinggi iaitu melebihi 5 ppm. Pasangkan dulang penetasan dalam tangki tersebut. 

c.    Ujian mutu air.
Ujian mutu air perlu dijalankan untuk memastikan air tangki sesuai untuk telur menetas. Jenis dan tahap mutu air yang sesuai untuk telur menetas adalah seperti berikut:-

i.      pH                                     -           6.5 – 8.3
ii.    Suhu                                -           26 – 32 °C
iii.   Oksigen terlarut              -           melebihi 5 ppm.
iv.   Ammonia                         -           kurang dari 0.02 ppm
v.    Ferik                                 -           kurang dari 0.01 ppm

d.    Mengawal suhu tangki penetasan.
Suhu air tangki penetasan perlu distabilkan antara 28 – 30°C. Biasanya suhu pada waktu siang lebih tinggi berbanding dengan suhu pada awal pagi dan waktu subuh. Untuk menstabilkan suhu air, seluruh hatceri perlu ditutup dan dipasang lampu. Pastikan suhu ruang hatceri berada antara 32 – 34°C bagi membolehkan suhu air tangki penetasan menjadi stabil antara 28 – 30°C. Pada suhu ini kadar penetasan adalah melebihi 80 peratus. Suhu yang rendah akan menyebabkan masa penetasan menjadi lambat dan akhirnya kadar penetasan menjadi rendah.


4.    Menabur telur di atas dulang penetasan
Telur yang telah disenyawakan dan dibersihkan ditabur ke atas dulang penetasan. Tabur dengan mengunakan sudu agar sebahagian besar telur terletak di mata jaring secara individu tanpa bergumpal atau bertindih antara satu sama lain. Hanya satu lapisan telur sahaja ditabur di atas jaring. Taburan telur yang berlapis dan bergumpal akan menyebabkan kadar penetasan yang rendah. Kejayaan penetasan adalah bergantung kepada kecekapan menabur telur di atas permukaan dulang penetasan.
Text Box:

Menabur telur ke dulang penetasan

5.    Pemerhatian penetasan telur
Pemerhatian terhadap perkembangan telur dibuat sebaik sahaja telur disenyawakan. Pemerhatian dilakukan dengan menggunakan mikroskop cahaya. Pada setengah jam pertama nukleus telah membentuk satu sel. Sel ini akan berkembang dan membahagi kepada dua,empat,lapan, enam belas, tiga puloh dua dan seterusnya membentuk lembaga yang berupa jasad ikan. Pada suhu antara 28 – 30°C, telur akan menetas selepas      20 jam disenyawakan. Semasa menetas, ekor rega akan bergerak pantas dan memukul kulit telur sehingga pecah dan rega keluar dari kulit telurnya. Selepas menetas, rega akan bergerak pantas dan jatuh ke dasar tangki. Di dasar rega akan berada dibahagian yang terlindung dari cahaya dan ekorya sentiasa bergerak untuk membantunya mengalami proses perkembangan dan pembesaran. Semasa menetas, mulut rega belum terbentuk dan pada masa ini rega mendapat bekalan makanan dari kuning telur yang ada pada jasadnya. Selepas berumur empat hari, mulutnya akan mula terbentuk dan kuning telur telah habis. Pada masa ini rega mula mengambil plankton sebagai makanan permulaannya.

Mengasuh Benih

1.    Tangki asuhan
Tangki yang sesuai digunakan untuk mengasuh benih ikan keli adalah tangki gentian kaca yang berukuran 1.0 x 3.0 x 1.0 meter. Tengki ini perlu ada saluran air keluar bergaris pusat 7.5 cm. Dalam air adalah 50 cm. Warna bahagian dinding dalam tangki adalah hijau, biru atau kelabu.

Tangki asuhan

2.    Menyediakan tangki asuhan

a.   Mencuci tangki.
Tangki dibersihkan dari kekotoran dan lumut. Tangki dicuci dengan menggunakan larutan garam berkepekatan 10 gram/liter untuk membunuh parasit, kuman, kulat dan agen-agen penyakit lain. Biarkan selama semalam. Bilas dengan air bersih dan keringkan selama 3 hari.



b.   Memasukan air.
Masukan air besih ke dalam tangki sehingga ke paras 20 cm. Kemudian tambahkan 30 cm air hijau dari tangki ternakan air hijau. Berikan pengudaraan untuk memastikan air tangki tersebut mengandungi oksigen terlarut yang tinggi iaitu melebihi 5 ppm. Jalankan ujian mutu air dan pastikan mutu air berada pada paras yang sesuai untuk benih hidup dan membesar. 

3.    Pengurusan asuhan benih ikan

a.   Melepaskan benih.
Rega yang berumur lima hari dipindahkan ke tangki asuhan untuk menjadi benih. Benih-benih dilepaskan pada waktu pagi. Benih-benih dari tangki penetasan dipungut dengan tangguk tangan dan dikumpulkan di dalam besen. Lepas itu benih dihitung dan dilepaskan ke tangki asuhan. Kadar perlepasan adalah 10,000 ekor semeter persegi. Sebelum benih dilepaskan, pastikan suhu air dalam besen adalah sama dengan suhu air dalam tangki asuhan untuk mengelakkan benih mengalami tegasan akibat suhu yang berbeza.

b.   Pemberian makanan.
Semasa rega dilepaskan ke tangki asuhan, mereka akan memakan plnakton yang terdapat di dalam air hijau. Air hijau kaya dengan Infusoria, Chorella, Daphnia, Diatom, Cladosera, Rotifera dan sebagainya. Selain dari air hijau, makanan tambahan seperti ‘powder feed’ yang mengandungi tepung ikan, dedak padi, hampas kacang soya, mineral dan sebagainya diberi kepada benih yang diasuh. Makanan tersebut mengandungi antara 32 – 36 peratus protein. Oleh kerana makanan ini berbentuk serbuk, terlebih dahulu campurkan air dan uli sehingga makanan boleh dikepal-kepal dan berbentuk seperti bebola. Bebola ini ditempelkan pada dinding tangki. Rega atau benih yang sensitif dengan bau makanan akan mengesan makanan lalu mengambilnya sehingga kenyang. Bagi memastikan semua rega mendapat makanan yang mencukupi, tempelkan makanan dibeberapa lokasi dinding tangki. Makanan diberi empat kali sehari iaitu pada jam 8.00 pagi, 12.00 tengahari, 4.00 petang dan 8.00 malam. Beri sehingga rega berhenti makan dan kira jumlah makanan yang telah dimakan dan rekodkan untuk rujukan di masa hadapan.

c.   Pemantauan kualiti air dan kebersihan tangki.
Pastikan tangki asuhan sentiasa bersih dari sisa makanan.   Tangki yang bersih menunjukkan kualiti air juga berada di dalam keadaan yang baik.    Ujian mutu air perlu dijalankan sekurang-kurangnya seminggu sekali. Kualiti air yang sesuai untuk asuhan benih ikan keli adalah seperti berikut:-
i.      pH                         -           6.0  - 8.0
ii.    Suhu                    -           26 – 32°C
iii.   Ammonia             -           kurang dari 0.02 ppm
iv.   Ferik                     -           kurang dari 0.02 ppm

d.   Pemantauan Kesihatan Ikan.
Ikan keli mudah diserang oleh parasit terutamanya kutu insang             ( monogenetik trematoda ). Parasit ini suka menyerang insang ikan. Insang yang diserang akan rosak dan filamen akan reput. Keadaan ini akan menyukarkan benih untuk bernafas dan akhirnya mati. Tangkap ikan yang sakit dan buat diagnosa penyakit ikan. Sekiranya benih-benih diserang oleh kutu ikan, tindakan untuk merawatnya perlu diambil segera. Caranya ialah tangkap benih yang sakit dan rawat dengan garam pada kepekatan 10gram/liter atau dipterex dengan kepekatan 2 ppm dalam tangki rawatan. Rawatan secara terus di dalam tangki asuhan juga boleh dilakukan dengan mengira jumlah isipadu air dalam liter dan kemudian bubuh garam kasar pada kadar  10 gram/liter atau Dipterex pada kadar 2 ppm. Biarkan semalaman dan buangkan air sebanyak 50 peratus dan kemudian tambah air bersih sebanyak 50 peratus. Kutu insang akan mati apabila terkena garam atau dipterex.

e.   Pemantauan pembesaran benih.
Pemantauan pembesaran benih perlu dijalankan setiap hari. Benih lambat membesar disebabkan oleh faktor-faktor berikut :-
i.      Tidak mendapat makanan yang mencukupi.
ii.    Mutu air yang kurang baik.
iii.   Baka yang kurang bermutu.
iv.   Benih diserang penyakit.
v.    Persaingan untuk mendapat makanan dan ruangan.
vi.   Terlalu padat.

            Langkah-langkah yang sesuai perlu dilakukan untuk mengatasi masalah di atas. Dalam keadaan normal, benih akan mencapai saiz 5.0 – 7.5 cm selepas diasuh selama 40 hari atau apabila benih berusia 45 hari. Salah satu cara untuk mengelakkan benih yang berbeza saiz ialah memindahkan benih yang terlalu cepat membesar ke tangki asuhan yang lain. Begitu juga dengan benih yang lambat membesar dipindahkan ke tangki lain.

Kutipan Hasil

Rega diasuh selama 40 hari dan dalam tempoh itu benih akan mencapai saiz 5.0 – 7.5 cm. Pada saiz ini benih sesuai dilepaskan untuk diternak di dalam kolam ternakan atau dijual kepada penternak. Benih-benih tidak diberi makanan sehari sebelum ditangkap untuk mengelakkan benih melepaskan najis semasa berada di dalam bungkusan. Untuk menangkap benih, surutkan air sebanyak 50 peratus dan benih-benih ditangkap dengan menggunakan jaring halus dan dipindahkan ke bekas pengumpul benih. Kira benih sebanyak 500 ekor dan masukkan ke dalam beg plastik berukuran 45 cm x 100 cm yang mengandungi satu pertiga bahagian air. Masukkan gas oksigen ke dalam beg plastik tersebut. Ulangi proses ini sehingga semua ikan telah dibungkus. Benih-benih yang telah dibungkus diedarkan ke lokasi ternakan dengan menggunakan kenderaan.
Text Box:

Benih-benih sedang ditangkap

  
Text Box:

Benih ikan keli yang sesuai untuk diternak








Penutup

Pengeluaran benih ikan keli boleh dilakukan semada secara kecil-kecilan hinggalah ke skala komersial. Ia hanya memerlukan ruang yang kecil. Walau bagaimana pun bagi projek skala besar, kawasan yang luas adalah diperlukan untuk pengeluaran benih keli. Pengurusan pengeluaran benih yang sistematik dan cekap akan menentukan kejayaan sesebuah projek pengeluaran benih ikan keli.
























PANDUAN KERJA

BAHAN DAN PERALATAN

1.    Sebuah tangki gentian kaca berukuran 1.0 x 3.0 x 1.0 meter.
2.    Dua buah tangki gentian kaca berukuran 1.0 x 2.0 x 1.0 meter.
3.    Dua buah tangguk tangan untuk menangkap induk.
4.    Dau buah tangguk halus untuk memungut rega
5.    Dua helai tuala kecil.
6.    Sepuloh pasang induk ikan keli.
7.    Sebotol hormon ovaprim.
8.    Lima unit alat suntikan 1.0 ml.
9.    Sebotol larutan garam.
10.     Sepuloh helai bulu ayam.
11.     Lima buah sudu plastik.
12.     Enam helai plastik ukuran 45 x 100 cm.
13.     Empat buah besen plastik bergaris pusat 45 cm.
14.     Dua buah besen plastik bergaris pusat 30 cm.
15.     Dua liter air suling.
16.     Sepuloh set dulang penetasan.
17.     Lima buah tangki penetasan.
18.     Sebuah blower, batu angin dan tiub angin.
19.     Sepuloh kilogram garam kasar.
20.     Lima kilogram powder  feed.
21.     Gas oksigen serta peralatannya
22.     Seratus keping beg plastik berukuran 45 x 100 cm dan getah gelang.



TUGASAN
Menghasilkan benih ikan keli bersaiz antara 5.0 – 7.5 am.

PENCAPAIAN STANDARD
  1. Dapat mengenalpasti ikan Keli Eksotika.
  2. Mengenal pasti jantina dan memilih induk matang untuk dibiakkan.
  3. Mahir menyediakan tangki pembiakan dan asuhan.
  4. Mahir menjalankan pengurusan hatcheri.
  5. Mahir dalam pengurusan asuhan benih.
  6. Mengasuh benih ikan keli sehingga ke saiz pasaran.
  7. Menggred dan membungkus benih ikan untuk dipasarkan.























LANGKAH KERJA

1.0 Penyediaan tangki stimulasi gonad
a.    Mencuci tangki dari kekotoran, sisa makanan, najis ikan dan lumut.
b.    Cuci dinding dan dasar tangki dengan larut garam berkepekatan 10 gram/liter dan bilas dengan air bersih.
c.    Masukan air bersih sehingga ke paras 30 cm dan beri pengudaraan.
2.0 Penyediaan tangki penetasan
a.    Cuci tangki dari kekotoran, sisa makanan, najis ikan dan lumut.
b.    Cuci dinding dan dasar tangki dengan larut garam berkepekatan 10 gram/liter dan bilas dengan air bersih. Keringkan selama 3 hari.
c.    Masukan air bersih sehingga ke paras 30 cm dan beri pengudaraan.
d.    Pasangkan dulang penetasan di dalam tangki tersebut.
e.    Jalankan ujian mutu air.
f.     Kawal suhu hatcheri dan tangki penetasan supaya suhu berada pada julat 28 – 30 °C.

3.0 Penyediaan tangki asuhan
a.    Cuci tangki dari kekotoran, sisa makanan, najis ikan dan lumut.
b.    Cuci dinding dan dasar tangki dengan larut garam berkepekatan 10 gram/liter dan bilas dengan air bersih. Keringkan selama 3 hari.
c.    Masukan air bersih sehingga ke paras 30 cm dan beri pengudaraan.

4.0 Pembiakan aruhan
      4.1 Memilih induk untuk pembiakan aruhan
          a. Induk betina.
i.              Abdomen yang besar serta melembang ke kiri dan kanan.
ii.            Genital papillanya berwarna kemerah-merahan.
iii.           Apabila abdomennya dipicit perlahan-lahan ke arah kloaka, akan keluar telur yang telah bercerai antara satu sama lain.
           b. Induk jantan.
i.              Genital papillanya panjang mencecah sirip anal.
ii.            Bahagian hujung genital papillanya berwarna kemerah-merahan.
iii.           Apabila abdomen dipicit perlahan-lahan akan keluar sperma dari genital papilla.

     4.2   Menyediakan hormon dan alat suntikan
i.              Hormon yang digunakan ialah ovaprim.
ii.            Dos untuk induk betina ialah 0.3ml/kg induk manakala dos induk jantan pula ialah 0.15ml/kg induk.
iii.           Alat suntikan yang hendak digunakan adalah bersaiz 1.0ml dengan jarumnya berukuran 1.25cm.
iv.           Sebelum digunakan jarum ini perlu dicuci dengan larutan garam berkepekatan 6 ppt.

     4.3   Menimbang induk dan menentukan jumlah hormon        
i.              Induk jantan dan betina yang dipilih perlu ditimbang untuk menentukan berat badan dan jumlah hormon yang akan disuntik.
ii.            Masukan seekor induk ke dalam beg plastik berukuran            45 x 100cm dan timbang.
Contohnya :-
                       Berat seekor induk betina          -      1.20kg
                       Dos yang digunakan                  -      0.3ml/kg
                       Jumlah dos hormon                   -     1.20kg x 0.3ml/kg = 0.36ml.
iii.           Lakukan kepada semua induk yang telah dipilih sehingga semuanya habis.  
  



     4.4  Menyuntik hormon
i.              Induk ikan keli disuntik pada jam 10.00 malam dan hanya sekali suntikan sahaja.
ii.            Tangkap induk yang hendak disuntik, masukkan ke dalam beg plastik.
iii.           Sedut hormon dengan alat suntikan sebanyak 0.36ml, buangkan angin, cucukkan jarum ke dalam oto pada kedudukan 45 darjah, turunkan jarum pada kedudukan selari dengan badan ikan dan tekan picagari untuk menolak hormon masuk ke dalam otot. 
iv.           Perlahan-lahan cabut jarum dan tekan otot dengan ibu jari agar hormon tidak mengalir keluar dari badan.

      4.5 Memindahkan induk ke tangki stimulasi gonad
i.              Pindahkan induk betina dan jantan selepas disuntik hormon ke dalam tangki stimulasi gonad yang berasingan.
ii.            Tutup tangki ini dengan rapi supaya induk tidak melompat keluar.
iii.           Dalam tangki ini induk akan mengalami rangsangan hormon untuk mematangkan telur dan sperma.
iv.           Pada masa ini jantan akan menjadi agresif manakala induk betina akan mencapai kematangan telur.

      4.6 Menyediakan sperma induk jantan
i.              Selepas 10 jam menerima suntikan sperma jantan telah sedia untuk mensenyawakan telur.
ii.            Air mani induk jantan tidak boleh dikeluarkan dari badan dengan meleret abdomen seperti ikan-ikan lain.
iii.            Untuk mendapatkan sperma, induk jantan perlu dibedah dengan alat pembedahan dan ikan akan mati.
iv.           Keluarkan kedua-dua testisnya, bersihkan dan letakkan ke dalam piring petri. Proses ini diulangi bagi induk jantan yang lain.
v.            Bagi mengeluarkan sperma, ambil beberapa testis dan bubuh di dalam piring petri. Potong testis tersebut dengan gunting dan pisau serta hancurkan.
vi.           Sperma yang berwarna keputeh-putehan akan keluar dan terkumpul di dalam piring petri. Tutup piring tersebut dan simpan di bawah suhu bilik.
vii.          Sperma ini sedia digunakan untuk persenyawaan telur.

      4.7 Meleret telur
i.              Induk betina telah sedia mengalami ovulasi selepas 10 jam disuntik hormon.
ii.            Tangkap induk betina, lapkan dengan tuala kering supaya badannya lembab dan tidak berair.
iii.           Pegang ikan dengan tuala dan perlahan-lahan leret abdomen ke arak kloaka. Telur akan keluar ke dalam besen yang disediakan. Ulangi langkah ini sehingga hampir semua telur habis dileret keluar.
iv.           Kerja-kerja ini diteruskan pada induk-induk yang lain. Kerja-kerja meleret telur perlu dijalankan dengan cermat, cekap dan cepat.

      4.8 Persenyawaan telur
i.              Masukkan sperma ke dalam besen yang mengandungi telur.
ii.             Gaulkan telur dan sperma dengan bulu ayam sehingga sekata atau sehingga semua telur disenyawakan. Proses ini berjalan selama 3 – 5 minit.
iii.           Tambahkan air untuk perkembangan telur. Cuci telur dengan air suling dan bersihkan sisa sperma dan darah. Proses ini diulangi bagi induk-induk yang lain.
      4.9  Menabur telur di atas dulang penetasan
i.              Telur yang telah disenyawakan dan dibersihkan ditabur ke atas dulang penetasan.
ii.            Ceduk telur dengan sudu plastik dan tabur ke atas dulang penetasan.
iii.            Tabur dengan cermat dan berhati-hati agar sebahagian besar telur terletak di mata jaring secara individu tanpa bergumpal atau bertindih antara satu sama lain.
iv.            Hanya satu lapisan telur sahaja ditabur di atas jaring.
v.            Kejayaan penetasan adalh bergantung kepada kecekapan menabur telur di atas permukaan dulang penetasan.
vi.           Tutup tangki dengan rapi supaya tiada perubahan suhu yang ketara.
vii.          Proses pengeraman ini mengambil masa 20 – 25 jam.

      4.10  Pemerhatian penetasan telur
i.              Ambil sampel telur yang baru disenyawakan dan letakkan di dalam piring petri yang berisi air bersih.
ii.            Letakkan piring tersebut di bawah mikroskop cahaya dan lihat perkembangan telur.
iii.           Selepas setengah disenyawakan telur mula berkembang dan membentuk satu sel. Perkembangan ini akan diikuti dengan pembahagian sel dari 1 sel , 2 sel, 4 sel, 8 sel, 16 sel dan seterusnya sehingga embrio membentuk jasad seekor rega ikan keli.
iv.           Selain dari sel, pemerhatian terhadap perkembangan telur yang terdapat di dalam tangki penetasan juga perlu dilakukan.
v.            Pastikan suhu air dalam tangki penetasan sentiasa berada pada julat 28 – 30°C.
vi.           Tindakan yang sesuai perlu dilakukan sekiranya suhu air kurang dari 28°C atau melebihi 30°C.
vii.          Telur akan mula menetas selepas 20 jam dieramkan.
viii.        Rega yang menetas akan gugur ke dasar tangki.
ix.           Telur yang sambang pula akan kekal melekat pada jaring.
x.            Selepas 30 jam dieramkan semua telur yang bernas akan menetas.
xi.           Angkat dulang penetasan perlahan-lahan dan keluarkan dari tangki penetasan.
xii.          Cuci dulang penetasan, jemur dan simpan untuk kegunaan seterusnya.
xiii.        Pada masa ini air tangki mula tercemar di mana telur-telur yang sambang akan membusuk dan menghasilkan ammonia dalam air.
xiv.        Untuk mengatasi masalah ini buangkan air tangki dan tinggalkan cuma 20 peratus sahaja.
xv.           Kemudian tambah dengan air bersih yang sama suhunya sehingga ke paras asal.
xvi.        Rega dibiarkan selama empat hari di dalam tangki penetasan. Dalam tempoh ini air perlu diganti sekira mutunya merosot.

5.0 Mengasuh benih
      5.1 Melepaskan benih
i.              Pindahkan rega yang berumur 5 hari dari tangki penetasan ke tangki asuhan.
ii.            Kadar perlepasan adalah 10,000 ekor  semeter persegi.
iii.           Semasa rega dilepaskan pastikan suhu air dalam bekas rega dan dalam tangki adalah sama.
iv.           Perbezaan satu darjah boleh menyebabkan rega mengalami tegasan dan mati.

     5.2  Pemberian makanan
i.              Makanan permulaan bagi rega adalah plankton yang terdapat di dalam air hijau.
ii.            Selain dari plankton, makanan tambahan seperti kastad telur dan powder feed diberi kepada anak benih.
iii.           Kastad telur adalah terdiri dari campuran telur, isi ikan, isi udang, pelet, garam dan susu tepung. Campuran ini dihancurkan dan dikukus. Makanan ini disejukkan dan dihancurkan semula supaya menjadi butiran halus dan diberi kepada benih.
iv.           Powder feed adalah dalam bentuk serbuk atau tepung.
v.            Untuk menyediakannya, campurkan sedikit air kepada powder feed dan uli sehingga boleh dibentuk seperti bebola. Bebola ini diletakkan di dasar tangki dan rega akan memakannya sehingga habis.
vi.           Makanan ini mengandungi antara 32 – 36 peratus protein.
vii.          Makanan diberi empat kali sehari iaitu pada jam 8.00 pagi, 12.00 tengahari, 4.00 petang dan 8.00 malam.
viii.         Makanan diberi sehingga rega berhenti makan dan kira jumlah makanan yang diberi dan rekodkan untuk rujukan di masa hadapan.

     5.3  Pemantauan kualiti air dan kebersihan tangki asuhan
i.              Pastikan tangki asuhan sentiasa bersih dari najis dan sisa makanan.
ii.            Sifon najis dan sisa makanan yang terdapat di dalam tangki asuhan.
iii.           Jalankan ujian mutu air sekurang-kurangnya seminggu sekali. Parameter mutu air yang perlu dipantau adalah pH, suhu, ammonia dan ferik.
iv.           Ambil tindakan yang sesuai sekiranya mutu air merosot dengan menukar air sebanyak 50 peratus sehari.



     5.4  Pemantauan kesihatan benih
i.              Jalankan pemantauan kesihatan ikan tiap-tiap hari terutamanya pada awal pagi.
ii.            Tangkap benih yang sakit dan buat rawatan yang bersesuaian.
iii.           Jika perlu buat rawatan yang bersesuaian terhadap tangki asuhan berkenaan.
     5.5  Pemantauan pembesaran benih
i.              Pemantauan pembesaran benih dijalankan tiap-tiap hari.
ii.            Tangkap benih yang cepat membesar dan asingkan ke tangki yang lain.
iii.           Benih yang cepat membesar akan memakan benih yang lebih kecil darinya.
iv.           Benih yang terlalu kecil juga perlu diasingkan ke tangki lain untuk memberi peluang kepadanya untuk membesar.
v.            Ikan kecil lambat membesar kerana tidak mampu bersaing dengan benih yang lebih besar dan agresif.

6.0 Kutipan hasil

i.              Rega diasuh selama 40 hari dan dalam tempoh itu ia menjadi benih dan mencapai saiz antara 5.0 – 7.5 cm.
ii.            Benih ini sesuai untuk diternak di dalam kolam atau dijual kepada penternak ikan.
iii.           Untuk memungut hasil, surutkan air sebanyak 80 peratus dan tangkap benih dengan tangguk tangan.
iv.           Kumpulkan benih di dalam bekas.
v.            Kira benih sebanyak 500 ekor dan masukkan ke dalam beg plastik, bubuh ubat acriflavin pada kadar 2.0 ppm dan masukan gas oksigen.
vi.           Ikat beg plastik tersebut dengan getah gelang.
vii.          Ulangi proses ini sehingga semua benih habis dibungkus.
viii.        Edarkan benih kepada penternak.


PENILAIAN


1. Nyatakan ciri-ciri perbezaan jantina ikan Keli Eksotika.
Bil.
Sifat luaran
Induk jantan
Induk betina
1
Alat kelamin


2
Abdomen


3
Saiz


4
Kelakuan



2. Apakah makanan yang sesuai untuk induk ikan keli.
____________________________________________________________________________________________________________________________

3. Mengapa induk jantan dan betina yang telah disuntik hormon perlu   
    diasingkan semasa proses stimulasi gonad.
______________________________________________________________
______________________________________________________________

4. Terangkan langkah-langkah yang diambil semasa menyediakan tangki
    pemeliharaan induk.
______________________________________________________________
______________________________________________________________
______________________________________________________________
____________________________________________________________________________________________________________________________
______________________________________________________________



5. Apakah kriteria ikan-ikan yang dipilih untuk dijadikan induk.
______________________________________________________________
______________________________________________________________
______________________________________________________________
______________________________________________________________
______________________________________________________________

6. Apakah fekunditi ikan keli betina seberat 1,000 gram?
A. 10,000 – 20,000 biji telur.
B. 15,000 – 25,000 biji telur.
C. 20,000 – 30,000 biji telur.
D. 30,000 – 40,000 biji telur.
E. 30,000 – 50,000 biji telur.

7. Apakah nisbah antara induk jantan dan betina untuk pembiakan aruhan?
A. Nisbah 1 : 1
B. Nisbah 1 : 2
C. Nisbah 2 : 1
D. Nisbah 3 : 1
E. Nisbah 2 : 3

8. Apakah jenis makanan semulajadi yang diberi sebagai makanan    
    permulaan rega yang baru menetas?
A. Powder feed.
B. Air Hijau.
C. Pelet terapung.
D. Kastad telur.
E. Susu tepung.




9. Apakah fungsi ovaprim dalam pembiakan aruhan ikan keli?
A. Sebagai ubat tahan sakit.
B.  Sebagai ubat untuk merawat penyakit ikan.
C. Hormon untuk mematangkan telur dan seperma induk ikan keli betina dan jantan.
D. Untuk merangsang ikan untuk membiak.
E. Untuk menggemukkan induk ikan.

10. Berapa lama benih di asuh untuk mencapai saiz antara 5.0 – 7.5 cm?
A. 10 hari
B. 20 hari
C. 30 hari
D. 40 hari
E. 50 hari






No comments:

Post a Comment